
Saintis Perancis Memeluk Islam
Setelah Mengkaji Penemuan Mayat Firaun Pada pertengahan tahun 1975.
Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti,
mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal.
Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam
dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan
diri daripada kekejamannya. Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan
mumia itu diterbangkan ke Paris.
Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan
pesta dan keramaian. Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin
Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka.
Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di
situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor
bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof.
Dr. Maurice Bucaille.
Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di
Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan
pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi. Ramai
kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille,
termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat. Lalu kesempatan
beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan
mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.
Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan
sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti
terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya
segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad
itu kekal awet.
Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr.
Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding
jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut? Lalu beliau
menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu
proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.
Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah
Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La
Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan
tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah)
oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De
Medicine, Perancis. KISAH FIRAUN DI DALAM AL QURAN.
Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa
penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru. “Jangan tergesa-gesa kerana
sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati
lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!” Namun kata-kata itu ditentang
keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya
membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali
dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir
dan tepat.
Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu
bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun
meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.
Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat
diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898.
Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.
Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr.
Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun
yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu. “Apakah masuk
akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah
masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa
dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya
sendirian.
Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya
membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi
tidak diceritakan mengenai mayat Firaun. Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama
(Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun
kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan
kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun
tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel
dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus
14:28 dan Psalm 136:15) Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut
langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas
tenggelam itu. Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.
Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus
mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu
dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun
sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh
bala tentera di belakang mereka. Maka salah seorang mereka terus bangun dan
membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille
mendengarkannya sendiri: “Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya
kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan
sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus:
92).” Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh.
Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan
memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih
jauh lagi.
Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan
keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya
aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.” Tidak sekadar beliau mengakui
kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan
menggali seluruh isi al-Quran. Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang
sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam
pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The
Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.
Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr.
Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan
fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya. “Sains dan Islam
umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat
pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan
seperti itu ada dalam al-Quran. “Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala
penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan
sains moden,” katanya. Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi
al-Quran benar-benar kalam Allah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan